Friday, June 17

Hikmat Berdoa

Kita biasa mendengar dari ibu bapa, rakan-rakan, ustaz dan ustazah kita bahawa senjata/kekuatan orang islam itu adalah doanya. Jika diamati di dalam Al Quran, kesemua rasul sentiasa berdoa pada tuhan untuk membantu, mengadu, memohon dan meluah pada Allah Yang Maha Pemurah . Sepertimana ketika Rasul Allah Musa sebelum menyampaikan wahyu pada Firaun, baginda berdoa supaya diterangkan hatinya dan dilancarkan pertuturannya.

Dari Ali RA meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda; Doa adalah senjata bagi orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi. [Hadis Riwayat Hakim]


Berdoa boleh dilakukan dimana-mana kerana dimana saja kita berada atau dalam keadaan apa sekali pun, pada bila-bila masa, semuanya terkandung dalam pengetahuan/milik Allah Yang Maha Kuasa. Berkaitan dengan waktu dan tempat yang dianggap mustajab untuk berdoa, maksudnya setiap orang memiliki kepercayaan dan keyakinan yang berbeza-beza. Kedua faktor itu berpengaruh pula terhadap kemantapan hati dan tekad dalam mengajukan permohonan kepada Tuhan. Namun bagi saya kekeramatan semua tempat dan waktu adalah baik untuk melakukan doa. Namun begitu banyak orang meyakini bahawa doanya akan dikabulkan Tuhan, walaupun doanya bersifat verbal atau sebaris ucapan lisan saja. Oleh yang demikian itu, ketika berdoa kita harus sentiasa berfikiran positif (prasangka baik) pada Tuhan.

SULITNYA MENILAI KEBERKESANAN DOA

Banyak orang merasa doanya tidak/belum dikabulkan. Tetapi banyak pula yang merasa bahawa Tuhan telah mengabulkan doa-doa tetapi dalam kesan yang teramat sedikit, masih jauh dari sasaran yang diharapkan. Itu hanya kata perasaan, belum tentu tepat melihat kenyataan sesungguhnya. Memang sulit sekali mengukur keberkesanan antara doa yang dikabulkan dengan yang tidak dikabulkan. Hal itu disebabkan oleh beberapa faktor berikut:

1) Kita sering tidak mencermati, bahkan lupa, bahwa anugerah yang kita rasakan hari ini, minggu ini, bulan ini, adalah merupakan “jawapan” Tuhan atas doa yang kita panjatkan sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Apabila sempat terlintas di fikiran atau kesedaran seperti itu, kita tetap ragu akan kebenarannya. Kerana keraguan yang ada di hati kita, akan muncullah anggapan bahawa hanya sedikit doa yang dikabulkan Tuhan.

2) Doa yang kita pinta pada Tuhan Yang Maha Esa semestinya menurut hemat kita adalah baik dan ideal, akan tetapi apa yang baik dan ideal menurut kita, belum tentu baik dalam kefahaman/rahmat Tuhan. Tanpa kita sedari boleh saja Tuhan mengganti permohonan dan harapan kita dalam bentuk yang lainnya, sudah tentu itu adalah yang paling baik untuk kita. Tuhan Sang Pengelola Waktu, mungkin akan mengabulkan doa kita pada waktu yang tepat pula. Ketidaktahuan dan ketidaksedaran kita akan bahasa dan kehendak Tuhan (rumus/kudrat alam), membuat kita menyimpulkan bahawa doa tidak dikabulkan Tuhan.

3) Prinsip kebaikan meliputi dua sifat atau dimensi, universal dan khusus. Kebaikan universal, akan berlaku untuk semua orang atau makhluk. Kebaikan misalnya keselamatan, kesihatan, kebahagiaan, dan ketenteraman hidup. Sebaliknya, kebaikan yang bersifat khusus ertinya, baik bagi orang lain, belum tentu baik untuk diri kita sendiri. Atau, baik untuk diri kita belum tentu baik untuk orang lain. Kebaikan khusus meliputi pula dimensi waktu, misalnya tidak baik untuk saat ini, tetapi baik untuk masa yang akan datang. Memang sulit sekali untuk memastikan semua itu. Tetapi paling tidak dalam berdoa, kemungkinan-kemungkinan yang bersifat positif tersebut perlu kita sedari dan terapkan dalam mental kita. Kita perlukan kearifan sikap, kecermatan batin, kesabaran, dan ketabahan dalam berdoa. Jika tidak kita sedari kemungkinan-kemungkinan itu, pada gilirannya akan mewujudkan karakter buruk dalam berdoa. Misalnya berdoa mohon dijodohkan dengan si A, mohon diberi rezeki yang melimpah ruah, berdoa supaya dinaikkan pangkat. Secara jujurnya, kita belum tentu betul dalam memilih doa dan berharap akan sesuatu. Kebaikan spesifik yang kita harapkan belum tentu menjadi berkat buat kita. Maka kehendak Tuhan untuk melindungi dan menyelamatkan kita, justeru dengan cara tidak mengabulkan doa kita. Akan tetapi, kita sering tidak mengerti bahasa Tuhan, lantas berburuk sangka, dan segera menyimpulkan bahawa doa tidak dikabulkan Tuhan.

HAKIKAT DISEBALIK KEKUATAN DOA

Agar doa menjadi mustajab (makbul), penting untuk memahami bahawa doa sesungguhnya bukan hanya sekadar permohonan (verbal). Lebih dari itu, doa adalah usaha yang nyata untuk dipersembah kepada Allah. Permohonan kepada Tuhan dapat ditempuh dengan lisan. Tetapi PALING BERKESAN adalah doa perlu dikukuhkan antara dimensi batiniah dan lahiriah. Doa akan menjadi mustajab dan kuat bilamana doa kita berada pada aras hukum atau kudrat Tuhan:




1. Ketika berdoa semestinya perlu menggabungkan 3 elemen asas dalam iman/keyakinan kita; iaitu hati, ucapan, dan tindakan. Dikatakan bahawa Tuhan berjanji akan mendengar setiap doa makhluk-Nya? seperti yang ditegaskan dari permulaan Al-Quran hingga ke hujung bahawa "Wallahu Sami'ul 'Alim?". Tetapi mengapa kita sering merasa doa kita seperti tidak didengari? Kita tidak perlu berprasangka buruk kepada Tuhan. Bila terjadi kegagalan dalam merealisasikan harapan, bererti ada yang masih tidak lengkap dalam ketiga-tiga elemen. Misalnya kita berdoa mohon kesihatan. Hati kita berniat agar rohani-jasmani selalu sihat. Doa juga dilafazkan melalui lisan. Tetapi tindakan kita tidak selari dengan lisan kita, justeru makan tidak berjadual, makanan berkolesterol, dan makan secara berlebihan. Hal ini merupakan contoh doa yang tidak mapan dan tiada konsisten. Doa yang kuat dan mustajab harus konsisten dan mapan melibatkan tiga unsur di atas. Yakni antara hati (Penetapan), lafaz (Pernyataan), dan tindakan (Perbuatan) jangan sampai terjadi bertentangan antaranya. Sebab kekuatan doa yang paling ulung adalah doa yang diikuti dengan PERBUATAN (AMALAN) secara istiqomah.


2. Untuk hasil akhir, pasrahkan semuanya kepada “kehendak” Tuhan, tetapi ingat usaha mewujudkan doa merupakan tugas manusia. Berdoa harus dilakukan dengan kesedaran yang penuh, bahawa manusia berfungsi mengoptimumkan prosedur dan usaha, soal hasil atau targetnya sesuai harapan atau tidak, biarkan itu menjadi kebijaksanaan dan haq Tuhan. Dengan kata lain, tugas kita adalah berusaha semaksimum mungkin, nilaian terakhir tetap berada di tangan Tuhan. Saat ini orang sering keliru tentang konsep doa. Asal sudah berdoa, lalu semuanya dipasrahkan kepada Tuhan. Bahkan cenderung berdoa hanya sebaris saja. Selanjutnya doa dan harapan secara mutlak diserahkan pada Tuhan. Hal ini merupakan kesalahan besar dalam memahami doa kerana terjebak oleh sikap serah pada nasib bulat-bulat. Sikap ini menyebabkan kemalasan, perilaku tidak masuk akal dan mudah putus asa. Hujung-hujungnya Tuhan akan dikambinghitamkan, dengan menganggap bahawa kegagalan doanya memang sudah menjadi NASIB yang digariskan Tuhan. Lebih malang lagi, bilamana dengan gelabah menganggap kegagalannya sebagai bentuk ujian dari Tuhan (bagi orang yang beriman). Sebab kepasrahan itu ertinya pasrah akan penentuan kualiti dan kuantiti hasil akhir. Yang namanya ikhtiar atau usaha tetap menjadi tugas dan tanggungjawab manusia dalam menggalang rahmatan lil alamin.

3. Berdoa jangan menuruti keinginan diri sendiri, sebaliknya berdoa itu pada dasarnya mencerminkan perilaku dan perbuatan kita ke dalam rumus (kudrat) Tuhan. Kesulitannya adalah mengetahui apakah doa atau harapan kita itu baik atau tidak untuk kita dan sejagat. Misalnya walaupun kita menganggap doa yang kita pinta adalah baik. Namun hakikatnya kita juga tidak pasti, apakah kelak permintaan kita jika ianya terlaksana akan membawa kebaikan atau sebaliknya membuat kita tercela.

4. Berdoa secara spesifik dan terperinci dapat mengandungi risiko. Misalnya doa supaya tender projek jatuh ke tangan kita, atau berdoa agar kita terpilih menjadi wakil rakyat. Padahal jika kita benar-benar menjadi wakil rakyat tahun ini, di dalam struktur pemerintahan terdapat orang-orang berbahaya yang akan “menjerumuskan” kita melakukan rasuah. Apa jadi sekiranya permohonan kita menjadi. Sebaiknya dalam berdoa kita berdoa suai dengan kehendak, cara, hukum, dan faham Tuhan (God's Willing), atau dalam erti kata lain basmallah. Caranya, di dalam doa hanya memohon yang terbaik buat diri dan linkungan kita. Sebagai contoh: "ya Tuhan, andai saja projek itu memberi kebaikan kepada diriku, keluargaku, dan orang-orang dikelilingku, maka perkenankan projek itu kepadaku, namun apabila tidak membawa berkah untuk ku, jauhkanlah". Dengan berdoa seperti itu, kita serahkan jalan cerita kehidupan ini kepada Gusti Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana.

DOA MERUPAKAN CERMIN PERBUATAN KITA, AMAL KEBAIKAN KITA PADA SESAMA MAKHLUK MENJADI DOA TAK TERUCAP YANG MUSTAJAB.


Kalimat sederhana ini merupakan kata kunci memahami misteri keikhlasan doa; doa adalah seumpama cermin!! Sama ada doa kita akan terkabul atau tidak bergantung pada perbuatan kebaikan yang pernah kita lakukan terhadap sesama makhluk Allah. Dengan kata lain terkabul atau gagalnya doa-doa kita merupakan cerminan akan amal kebaikan yang pernah kita lakukan pada orang lain. Jika kita secara sedar atau tidak sering mencelakai orang lain maka doa mohon keselamatan akan sia-sia. Sebaliknya, orang yang selalu menolong dan membantu sesama, kebaikannya sudah menjadi “doa” sepanjang waktu, hidupnya selalu mendapat kemudahan dan dijamin keselamatan. Selanjutnya cermati apa yang akan terjadi pada diri kita, rezeki seperti tiada penghabisan! Semakin banyak beramal, akan semakin banyak pula rezeki kita. Bahkan sebelum kita mengucap doa, Tuhan sudah memenuhi apa-apa yang kita harapkan. Itulah petanda, bahawa perbuatan dan amal kebaikan kita pada sesama makhluk, akan menjadi doa yang tak terucap, menjadi tangkal buat selama-lamanya; malah sungguh mustajab. Kita berbuat baik pada orang lain, hikmah-Nya, sesungguhnya perbuatan itu seperti doa untuk kita sendiri.

Monday, June 13

Bacalah atas Nama Rob (tuhan) mu

Manusia di akhir zaman, sama ada yang Islam, bukan Islam, pemimpin, ulama mahupun orang kebanyakan, semuanya sudah terlalu jauh daripada tuntunan hidup sepertimana yang dikehendaki oleh tuhan. Tuhan sekadar dizikir wirid / disebut-sebut di lidah sahaja, bukan dari hati yang penuh cinta dan amal yang menunjukkan takutkan-Nya. Islam hanya sebagai slogan bukan sebagai landasan.

Kerana itulah kemurkaan tuhan diterjemahkan pada manusia kini melalui kezaliman dan kejahilan dalam bentuk yang berbagai dan mengerikan. Ini terjadi atas kehendak-Nya dengan tujuan supaya manusia itu sedar atas perbuatannya. Ia mengingatkan manusia agar kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Namun demikian manusia masih dengan halatuju hidup yang sementara dan enggan kembali kepada penciptanya. Buktinya dapat dilihat dalam menyelesaikan masalah, manusia lebih gemar memilih untuk mengguna pakai akal fikirannya berbanding membuat rujukan pada wahyu untuk mengilhami penyelesaian.

Apabila Manusia Mengingkari Tuhan

Al Quran memaparkan kedegilan umat-umat para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Umat nabi Nuh, komuniti nabi Ibrahim, umat nabi Musa, umat nabi Isa begitu ingkar pada Allah dan rasul. Sebagai contoh umat nabi Saleh. Mereka sedar kaum-kaum terdahulu ramai yang mendustakan rasul Allah yang diutus pada mereka. Pada waktu itu mereka yakin benar akan pegangan yang diwarisi dari leluhurnya sehingga mengakibatkan pegangan/ajaran itu bersifat merosakkan diri mereka.

Rupa-rupanya apa yang berlaku sekarang, watak manusia sama sahaja. Kalau dulu degil, sekarang pun degil. Kalau dulu mereka mengancam orang yang membawa mesej dari tuhan, sekarang juga berlaku penentangan terhadap penolong-penolong Allah. Sama ada secara sedar atau secara tidak sedar, manusia kini juga sangat menderhakai tuhan semesta alam.

Bahkan pada pandangan saya, sebahagian umat kini lebih jahat dari umat dahulu. Mengapa? Orang dulu buat jahat tidak dikaitkan dengan tuhan, tidak dikaitkan dengan Islam. Sekarang ada yang buat jahat dengan menjual nama hukum Allah. Islam dikedepankan hanya dari segi percakapan, tetapi perbuatan mereka sangat bertentangan dengan ayat-ayat Al Quran ul Karim. Hasilnya kebanyakan orang sangat keliru tentang ajaran ilahi ini. Dulu manusia tidak terkeliru. Contoh, Namrud menentang Islam bukan atas nama Islam. Abu Jahal menentang Islam pun bukan juga atas nama Tuhan.

Pada saya jenayah paling besar di akhir zaman adalah apabila orang buat jahat atas nama Islam, orang pamer keingkaran atas nama tuhan semesta alam dan orang menghancurkan Islam atas nama kebenaran. Inilah bala akhir zaman dan inilah dia pancaroba hari ini.

Kerana itulah di kurun ini Tuhan timpakan azab yang kini dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Atas dasar kasih sayang tuhan, diperingatkan kita melalui bencana yang ditimpa untuk manusia pada hari ini supaya kembali pada Al Quran dan sunnah rasul-Nya.

Hidup atas Nama Tuhan Yang Menciptakan

Sekiranya muslimin kini benar ikhlas dalam segala hal di dalam kehidupannya, maka cara hidup, cara berkemajuan, cara membangun, cara berjuang adalah beradab dan indah saja. Wahyu yang pertama mengilhami perkara ini dalam surah Al ‘Alaq ayat pertama

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,

Mengapa dalam ayat ini Tuhan tidak berfirman, hendaklah kamu maju dengan nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, berekonomilah dengan nama Tuhan Yang Maha Pemberi? Mengapa Tuhan tidak menyoal, membangunlah dengan nama Tuhan? Mengapa Tuhan memilih perkataan, “Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan”?.
Di sini jelas ada dua perkara untuk dibahaskan iaitu:

  • Baca
  • Dengan Nama Tuhan Yang Menciptakan

1. Baca

Dari segi logik, baca bermaksud belajar. Tuhan kata belajar, kerana dengan belajar kita dapat ilmu. Tanpa ilmu kita jahil. Dengan ilmu kita boleh meneroka. Tanpa ilmu tidak boleh berbahas. Tidak boleh membangun. Itulah sebenarnya erti baca ataupun iqra yang diilhamkan Allah pada Nabi Muhammad.



Dengan perkataan ini, Muhammad mengerti keadaan dirinya, keadaan orang-orang yang disayanginya, persoalan-persoalan dalam jiwa manusia ketika itu, keadaan sekeliling tempat tinggal, dan apa yang menyebabkan kejahilan kaum kerabatnya.

Tuhan kurniakan perkataan yang tepat bagi manusia untuk difahami isinya yang syumul dan global. Semua berasaskan dari situ. Umpamanya apabila hendak membina bangunan perlu iqra’ keadaan buminya, laluan angin, suhu, penduduk sekelilingnya, habitat yang wujud disekelilingnya, sumber dana, tenaga kerja, dan berbagai lagi perlu di iqra sepanjang proses kelangsungan pembinaan bagi meluluskan objektif pembangunan.
Fahamlah kita kalau digunakan perkataan, ‘Membangunlah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan’, itu tidak syumul. Begitu juga dengan perkataan yang lain-lain disebut diatas. Tetapi apabila Tuhan meletakkan perkataan ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan’ barulah global dan merangkumi pelbagai aspek. Hasil membaca kita mendapat pengetahuan dan jadi pintar, boleh membangun dan sebagainya. Kalau tidak ada pengetahuan, bagaimana mahu maju, membangun, berkebudayaan dan berekonomi? Ertinya akal boleh menerima bahawa dalam hidup ini hendak maju di sudut mana pun mesti bertitik tolak dari ilmu dan ilmu adalah hasil dari membaca.

2. Dengan Nama Tuhan Yang Maha Menciptakan

Disini seolah-olah Tuhan berkata: “belajarlah, berkerjayalah, berpasanganlah, berbelanjalah dan berhiburlah, semuanya mesti dilakukan atas nama Aku yang Maha Menciptakan. Dunia ini Aku punya. Semua makhluk ciptaan-Ku. Lalu kalau hendak bertindak dari sudut mana pun mesti sesuai dengan fahaman-Ku. Jangan sesekali ikut cara kamu.”

Beginilah indahnya bilamana Tuhan telah beri satu formula dan anak kunci kepada manusia yang berbagai etnik dan suku. Iaitu apabila hendak berbuat apa sekali pun, supaya tidak bergaduh, bermasam muka sesama sendiri maka mestilah dibuat atas nama Tuhan yang telah menciptakan kita sebaik-baiknya.

Tuhan adalah pengikat, kunci pada perpaduan sejagat. Kalau semua orang, semua kaum, semua bangsa membangun walau di sudut dan aspek apa pun atas nama Tuhan, ia akan terikat atas dasar kasih sayang Allah. Ia akan maju selamat, membangun dengan selamat dan jaya terus menerus dengan izin-Nya. Kerana masing-masing menuju pada Yang Maha Esa. Tiada sengketa tiada pergaduhan.