Monday, June 1

Belajar Laravel dan juga Angular Material

Hujung minggu lepas banyak juga saya tela'ah berkenaan Material Design yang diperkenalkan oleh Google. Kira-kira setahun yang lepas saya mengkhusus masa untuk membanyakkan bacaan dan mengkaji jQuery serta pustaka-pustaka yang terlibat. Banyak perkara yang telah dipelajari dalam rangka membentuk etika kerja yang bagus, mantap dan efisyen. Saya juga banyak mengabaikan penggunaan Composer, Bower, Gulp dan sebagainya. Ini juga berkemungkinan saya masih menggunakan platform Windows dan masih berfikir dengan doktrin Microsoft, iaitu tekan butang `Next` untuk mengakhiri sesebuah proses.

2015 adalah tahun dimana aplikasi web semestinya lebih mesra mobil kerana rata-rata orang kini banyak menggunakan pelayar yang sedia ada di smartphone mereka untuk layari internet bagi capai maklumat. Untungnya membangun web adalah tidak semahal membangun aplikasi, jadi rangka kerja yang bagus mesti diwujudkan.

Twitter Bootstrap adalah sebuah rangka kerja yang bagus cuma saya masih merasa ada kejanggalan pada rangka kerja ini. Dan yang paling menjengkelkan adalah terpaksa bergantung kepada jQuery. Berbanding Angular Material, saya dapati ia seolah-olah memberi nafas baru kepada design-design yang sedia ada. Tambahan pula banyak faktor telah dipertimbangkan oleh tenaga kerja Google.

Laravel juga banyak membantu dari segi pembangunan back-end. Caranya yang lebih teratur dan disiplinnya banyak membuat pola fikir saya berubah mendadak. Kemas dan menyenangkan hati.

Saya cuba menyediakan sebuah rangka kerja dimana ia diharap dapat membantu saudara-saudara pembangun aplikasi di Malaysia cekap menyediakan sebuah aplikasi yang dapat mencakup keperluan semasa. Ianya berasaskan Laravel 5 sebagai pengurus di belakang dan Angular Material sebagai antara muka yang lebih mesra smartphone.

Akhirul kalam, saya menjemput saudara-saudara untuk fork repo ini disini https://github.com/infacq/Merantau. Segala pandangan dan kritikan dari kalian adalah sangat-sangat dihargai. Selamat mengoding!