Monday, June 13

Bacalah atas Nama Rob (tuhan) mu

Manusia di akhir zaman, sama ada yang Islam, bukan Islam, pemimpin, ulama mahupun orang kebanyakan, semuanya sudah terlalu jauh daripada tuntunan hidup sepertimana yang dikehendaki oleh tuhan. Tuhan sekadar dizikir wirid / disebut-sebut di lidah sahaja, bukan dari hati yang penuh cinta dan amal yang menunjukkan takutkan-Nya. Islam hanya sebagai slogan bukan sebagai landasan.

Kerana itulah kemurkaan tuhan diterjemahkan pada manusia kini melalui kezaliman dan kejahilan dalam bentuk yang berbagai dan mengerikan. Ini terjadi atas kehendak-Nya dengan tujuan supaya manusia itu sedar atas perbuatannya. Ia mengingatkan manusia agar kembali kepada fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Namun demikian manusia masih dengan halatuju hidup yang sementara dan enggan kembali kepada penciptanya. Buktinya dapat dilihat dalam menyelesaikan masalah, manusia lebih gemar memilih untuk mengguna pakai akal fikirannya berbanding membuat rujukan pada wahyu untuk mengilhami penyelesaian.

Apabila Manusia Mengingkari Tuhan

Al Quran memaparkan kedegilan umat-umat para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Umat nabi Nuh, komuniti nabi Ibrahim, umat nabi Musa, umat nabi Isa begitu ingkar pada Allah dan rasul. Sebagai contoh umat nabi Saleh. Mereka sedar kaum-kaum terdahulu ramai yang mendustakan rasul Allah yang diutus pada mereka. Pada waktu itu mereka yakin benar akan pegangan yang diwarisi dari leluhurnya sehingga mengakibatkan pegangan/ajaran itu bersifat merosakkan diri mereka.

Rupa-rupanya apa yang berlaku sekarang, watak manusia sama sahaja. Kalau dulu degil, sekarang pun degil. Kalau dulu mereka mengancam orang yang membawa mesej dari tuhan, sekarang juga berlaku penentangan terhadap penolong-penolong Allah. Sama ada secara sedar atau secara tidak sedar, manusia kini juga sangat menderhakai tuhan semesta alam.

Bahkan pada pandangan saya, sebahagian umat kini lebih jahat dari umat dahulu. Mengapa? Orang dulu buat jahat tidak dikaitkan dengan tuhan, tidak dikaitkan dengan Islam. Sekarang ada yang buat jahat dengan menjual nama hukum Allah. Islam dikedepankan hanya dari segi percakapan, tetapi perbuatan mereka sangat bertentangan dengan ayat-ayat Al Quran ul Karim. Hasilnya kebanyakan orang sangat keliru tentang ajaran ilahi ini. Dulu manusia tidak terkeliru. Contoh, Namrud menentang Islam bukan atas nama Islam. Abu Jahal menentang Islam pun bukan juga atas nama Tuhan.

Pada saya jenayah paling besar di akhir zaman adalah apabila orang buat jahat atas nama Islam, orang pamer keingkaran atas nama tuhan semesta alam dan orang menghancurkan Islam atas nama kebenaran. Inilah bala akhir zaman dan inilah dia pancaroba hari ini.

Kerana itulah di kurun ini Tuhan timpakan azab yang kini dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Atas dasar kasih sayang tuhan, diperingatkan kita melalui bencana yang ditimpa untuk manusia pada hari ini supaya kembali pada Al Quran dan sunnah rasul-Nya.

Hidup atas Nama Tuhan Yang Menciptakan

Sekiranya muslimin kini benar ikhlas dalam segala hal di dalam kehidupannya, maka cara hidup, cara berkemajuan, cara membangun, cara berjuang adalah beradab dan indah saja. Wahyu yang pertama mengilhami perkara ini dalam surah Al ‘Alaq ayat pertama

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,

Mengapa dalam ayat ini Tuhan tidak berfirman, hendaklah kamu maju dengan nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, berekonomilah dengan nama Tuhan Yang Maha Pemberi? Mengapa Tuhan tidak menyoal, membangunlah dengan nama Tuhan? Mengapa Tuhan memilih perkataan, “Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan”?.
Di sini jelas ada dua perkara untuk dibahaskan iaitu:

  • Baca
  • Dengan Nama Tuhan Yang Menciptakan

1. Baca

Dari segi logik, baca bermaksud belajar. Tuhan kata belajar, kerana dengan belajar kita dapat ilmu. Tanpa ilmu kita jahil. Dengan ilmu kita boleh meneroka. Tanpa ilmu tidak boleh berbahas. Tidak boleh membangun. Itulah sebenarnya erti baca ataupun iqra yang diilhamkan Allah pada Nabi Muhammad.



Dengan perkataan ini, Muhammad mengerti keadaan dirinya, keadaan orang-orang yang disayanginya, persoalan-persoalan dalam jiwa manusia ketika itu, keadaan sekeliling tempat tinggal, dan apa yang menyebabkan kejahilan kaum kerabatnya.

Tuhan kurniakan perkataan yang tepat bagi manusia untuk difahami isinya yang syumul dan global. Semua berasaskan dari situ. Umpamanya apabila hendak membina bangunan perlu iqra’ keadaan buminya, laluan angin, suhu, penduduk sekelilingnya, habitat yang wujud disekelilingnya, sumber dana, tenaga kerja, dan berbagai lagi perlu di iqra sepanjang proses kelangsungan pembinaan bagi meluluskan objektif pembangunan.
Fahamlah kita kalau digunakan perkataan, ‘Membangunlah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan’, itu tidak syumul. Begitu juga dengan perkataan yang lain-lain disebut diatas. Tetapi apabila Tuhan meletakkan perkataan ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan’ barulah global dan merangkumi pelbagai aspek. Hasil membaca kita mendapat pengetahuan dan jadi pintar, boleh membangun dan sebagainya. Kalau tidak ada pengetahuan, bagaimana mahu maju, membangun, berkebudayaan dan berekonomi? Ertinya akal boleh menerima bahawa dalam hidup ini hendak maju di sudut mana pun mesti bertitik tolak dari ilmu dan ilmu adalah hasil dari membaca.

2. Dengan Nama Tuhan Yang Maha Menciptakan

Disini seolah-olah Tuhan berkata: “belajarlah, berkerjayalah, berpasanganlah, berbelanjalah dan berhiburlah, semuanya mesti dilakukan atas nama Aku yang Maha Menciptakan. Dunia ini Aku punya. Semua makhluk ciptaan-Ku. Lalu kalau hendak bertindak dari sudut mana pun mesti sesuai dengan fahaman-Ku. Jangan sesekali ikut cara kamu.”

Beginilah indahnya bilamana Tuhan telah beri satu formula dan anak kunci kepada manusia yang berbagai etnik dan suku. Iaitu apabila hendak berbuat apa sekali pun, supaya tidak bergaduh, bermasam muka sesama sendiri maka mestilah dibuat atas nama Tuhan yang telah menciptakan kita sebaik-baiknya.

Tuhan adalah pengikat, kunci pada perpaduan sejagat. Kalau semua orang, semua kaum, semua bangsa membangun walau di sudut dan aspek apa pun atas nama Tuhan, ia akan terikat atas dasar kasih sayang Allah. Ia akan maju selamat, membangun dengan selamat dan jaya terus menerus dengan izin-Nya. Kerana masing-masing menuju pada Yang Maha Esa. Tiada sengketa tiada pergaduhan.

1 comment:

Nina Maslizza said...

Islam itu indah,syumul, lengkap.BERSIh. tapi jangan disalahkn Islam bila pelakunya melakukan kesalahan, :) tabarakallah